Tak lama kemudian, aku dibeli dan tiba di sebuah rumah yang baru, disambut dengan senyuman hangat dan pemilikku meletakkanku di tengah-tengah ruang makan di rumahnya.
Aku menjadi saksi bisu kepada banyak detik manis. Pada awalnya, aku adalah pusat kepada sebuah keluarga kecil yang bertenaga. Setiap pagi, aku dipenuhi dengan hidangan sarapan yang ringkas dan menyelerakan, sambil suara tawa dan perbincangan riuh rendah memenuhi ruang.
Petang pula, aku menjadi saksi kepada sesi kerja rumah anak-anak yang kadangkala diselangi rengekan dan gelak tawa. Aku melihat mereka membesar, dari kanak-kanak riang yang menumpahkan susu hingga remaja yang berkongsi cerita cerita di sekolah. Aku menjadi tempat mereka berkumpul untuk makan malam, menyambut hari lahir, dan meraikan kejayaan kecil. Aku mendengar rahsia-rahsia yang dibisikkan, nasihat-nasihat yang diberikan, dan janji-janji yang diucapkan.
Masa berlalu begitu pantas. Rambut pemilikku mula memutih, dan langkah mereka tidak lagi sekuat dahulu. Anak-anak yang dulunya sering duduk di sekelilingku kini sudah berdikari dan punya keluarga sendiri, jarang sekali kembali untuk berkumpul melainkan pada waktu raya sahaja.
Keheningan mula menguasai ruang, dan aku tidak lagi dipenuhi dengan hiruk-pikuk kehidupan. Aku melihat pasangan tua itu, yang kini hanya tinggal berdua, menikmati hidangan mereka dalam suasana yang lebih tenang. Ada kalanya, mereka akan duduk berjam-jam, hanya bercerita tentang kenangan lalu, dan aku, si meja lama ini, menjadi pendengar yang setia.
Kini, aku sudah tua dan uzur. Permukaan kayu ku tidak lagi licin, malah ada beberapa calar dan kesan air yang sukar dihilangkan. Cat di kaki ku sudah mula mengelupas. Aku tahu aku tidak lagi seindah dahulu, tetapi setiap cela di tubuhku adalah bukti kepada memori-memori yang telah aku saksikan. Aku mungkin sudah usang, tetapi hatiku dipenuhi dengan kisah-kisah cinta, kegembiraan, dan juga kesedihan yang telah melingkari keluarga ini.
Aku adalah pemerhati setia kepada perubahan masa, dan aku akan sentiasa mengenang setiap saat yang telah aku lalui bersama mereka.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan